Amanat Pengerusi Tahun 2010

February 06, 2010


بسم الله الرحمن الرحيم..
Segala puji bagi Allah pencipta sekalian alam. Yang mentadbir alam tanpa sebarang kecacatan. Selawat dan salam ke atas Rasulullah saw dan ahli keluarganya. Juga didoakan kebahagian kepada tiga generasi terbaik iaitu generasi sahabat, tabi’in dan tabi’ tabi’in juga kepada mereka yang mengikut jejak langkah generasi terbaik ini sehingga hari kiamat.
Masa tetap akan berlalu tanpa sebarang isyarat, hanya manusia yang beriman kepada Allah mampu mengisi masa-masa tersebut dengan ibadah dan kebaikan. Tahun 2009 telah beransur pergi meninggalkan kita dan tahun 2010 pula datang untuk menyahut perintah Allah dan menjalankan tugasnya sebagai makhluk Allah yang maha berkuasa dan menguasai segala sesuatu yang berada di bumi dan di langit. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut tahun baru bagi warga keluarga PERAQ dan umat Islam amnya. Sebagai umat Islam yang mengaku keEsaan Allah dan kerasulan nabi Muhammad kita perlu menyahut firman Allah
وَالْعَصْرِ () إِنَّ الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ () إِلَّا الَّذِينَ آَمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.”

Justeru marilah kita sama-sama meningkatkan lagi kekuatan umat Islam dengan berpesan-pesan kepada kesabaran dan kebaikan. Kekuatan sesuatu umat bukanlah terletak pada kecanggihan senjata semata-mata namun kasaih sayang dan kesatuan adalah faktor utama untuk membina kekuatan disamping doa yang penuh tawaduk dijadikan sebagai senjata dan solat yang penuh pengharapan sebagai perisai yang paling ampuh.
Disamping itu saya menyeru juga kepada warga keluarga PERAQ agar sentiasa saling bantu membantu dan bersatu padu sama ada di dalam kesusahan mahupun senang. Sebagai satu keluarga sikap tolong menolong perlu sentiasa ada agar kekuatan kita tidak pudar. Dan dikesempatan ini juga saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli kelurga PERAQ yang telah banyak membantu saya terutama di dalam program-program yang dijalankan dan telah memberikan kerjasama maksimum walaupun dari Kuala Lumpur mahupun kawasan selain Johor sanggup datang untuk menjayakan dan memberi komitmen pada program yang dijalankan. Diharapkan semangat sebegini dapat dijaga dan ditingkatkan dari semasa ke semasa untuk kebaikan bersama. Akhir kata saya ingin membawakan satu hadith daripada Abi Hurairah, diriwayatkan oleh Muslim di dalam sahihnya;
وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ

...dan jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang Muslim adalah saudara bagi muslim yang lain. Ia tidak menganiayanya, tidak mengecewakannya dan tidak menghinanya...”

Sekian.

Mohd Zakaria Mahadi
060210

Read more...